10 pejabat Mara daerah akan ditutup? - Utusan Malaysia

10 pejabat Mara daerah akan ditutup?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar didesak memberikan penjelasan segera terhadap isu yang tular mendakwa kononnya sebanyak 10 pejabat Majlis Amanah Raya (Mara) akan ditutup di seluruh negara.

Desakan itu disuarakan oleh bekas Timbalan Pengerusi GiatMara, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang menerima tangkap layar daripada kiriman WhatsApp yang dipercayai disebarkan oleh ‘orang dalam’ Mara sendiri.

Katanya, sekiranya perkara itu benar, beliau ingin mendesak agar pihak kerajaan mempertimbangkan agar tidak dilaksanakan demi kepentingan bumiputera di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dan jutaan rakyat negara ini menunggu penjelasan daripada Datuk Seri Rina Harun sama ada berita itu benar atau palsu.

“Selaku bekas Timbalan Pengerusi Giatmara, saya membantah sekeras-kerasnya jika perkara ini berlaku. Seperti mana semua rakyat negara ini tahu, Mara ditubuhkan bagi menjaga kepentingan bumiputera tanpa mengira fahaman politik. Keutamaan Mara bukan sahaja daripada segi pendidikan, malah membantu ekonomi bumiputera untuk berdaya saing dalam landskap negara,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Tangkap layar WhatsApp itu memaklumkan bahawa Pengurusan Tertinggi Mara telah menyenaraikan 10 pejabat Mara daerah yang akan ditutup termasuk di Cameron Highlands, Pahang berkuatkuasa pada Jun nanti atas alasan penjimatan kos operasi.

Kiriman itu turut memberitahu kononnya keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan menteri bertanggungjawab. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN