Zulieka mahu buka kafe - Utusan Malaysia

Zulieka mahu buka kafe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT mendalam terhadap bidang masakan membuatkan gadis berusia 23 tahun ini menyimpan impian untuk memiliki kafe atau restoran sendiri suatu hari nanti.

Zulieka Fadhlon yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang pengurusan hospitaliti di City University menyimpan hasrat mahu menyajikan makanan kesihatan kepada pelanggan kafenya kelak.

Katanya, jika ada rezeki memiliki kafe sendiri, itulah yang akan dilakukannya.

“Saya suka masak dan makan. Kelebihan saya adalah memasak menu yang menyihatkan. Ini kerana pada hari ini, saya dapati masyarakat kita sudah mula celik terhadap pemakanan berkhasiat,” katanya kepada S2.

Menurut Zulieka, dia juga bercita-cita memiliki perniagaan sendiri kerana suka bertemu dan berkenalan dengan ramai orang yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang.

“Saya suka bertemu dengan ramai orang. Sudah tentu makanan yang menyihatkan akan menjadi hadiah istimewa untuk pelanggan saya kelak,” kata Zulieka.

Katanya, industri hospitaliti memberi peluang kepadanya untuk mendekati budaya serta tradisi penduduk pelbagai kaum.

Ditanya mengenai makanan kegemaran, anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berkata, dia gemar menikmati sambal udang, tortilla ayam, spageti bolognese dan ayam mentega.

Katanya, dia juga merancang untuk menjadikan tortilla ayam sebagai menu signature untuk dijual kepada orang ramai.

Tambah Zulieka, dia mahu mencari pengalaman dengan bekerja di dalam bidang hospitaliti dan pelancongan sebaik sahaja tamat belajar sebelum mencari peluang membuka perniagaan sendiri.

“Pengalaman di dalam industri ini amat penting. Jadi, saya mahu menimba pelbagai cabang ilmu dan pengalaman terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, dia tidak kisah untuk bekerja di dalam atau di luar negara asalkan dapat memperolehi pengalaman yang berharga.

Ujarnya, jika diberi peluang bekerja di luar negara, dia mahu menggunakan peluang itu untuk mengenali budaya masyarakat asing, selain melihat negara orang.

“Saya akan berusaha untuk mencari dan mengumpul modal bagi memulakan perniagaan dalam bidang makanan,” katanya.

Selain gemar memasak, anak kelahiran Selangor itu juga gemar membeli-belah dan menonton wayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×