MILAN 10 Dis. – Zlatan Ibrahimovic tidak akan meninggalkan LA Galaxy untuk kembali ke AC Milan, kata pengarah sukan kelab Itali itu walaupun mereka mengkaji kemungkinan menandatangani pemain Chelsea, Cesc Fabregas.
“Ibrahimovic tidak akan kembali ke Milan kerana dia sudah berjanji untuk terus bersama LA Galaxy,” kata Leonardo kepada Sky Sport Italia.
“Kami telah memikirkan kepulangannya tetapi dia berpegang janjinya dan akan kekal di MLS (Liga Bola Sepak Utama).
“Sebelum ini dia memberitahu akan terus kekal bersama LA Galaxy jika mereka memenuhi syarat-syaratnya.
“Itu akan jadi satu kisah yang hebat dan satu isyarat kuat, tetapi itu tidak mungkin.”
Ibrahimovic bermain buat AC Milan dari 2010 hingga 2012, memenangi satu gelaran Serie A dengan kelab itu sebelum berpindah ke Paris Saint-Germain dan Manchester United.
Pemain berusia 37 tahun itu menyertai LA Galaxy musim ini dan mempunyai kontrak sehingga musim 2019.
Baru-baru ini, dia dinamakan Pendatang Baharu Terbaik liga, menewaskan penjaring gol terbanyak England, Wayne Rooney antaranya bagi anugerah itu.
Leonardo berkata, Milan ‘menilai syarat-syarat’ untuk menandatangani bekas pemain Arsenal dan Barcelona berusia 31 tahun itu.
“Malangnya, dengan isu Fair Play Kewangan, hal itu menjadi sukar untuk diusahakan. Pemilik-pemilik mahu melabur, tetapi ada batasan yang perlu dihormati,” katanya.
Sementara itu, pemain Brazil, Lucas Paqueta tiba di Milan, semalam menjelang majlis menandatanganinya bernilai 35 juta euro (RM166.35 juta) dan menjalani ujian perubatan hari ini.
“Dia mampu membantu memperkasakan pasukan ini,” kata Leonardo mengenai pemain berusia 21 tahun itu. – AFP










