KUALA LUMPUR 1 Dis. – Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan keduanya selepas melangkah ke pentas final Siri Jelajah Dunia 300 Korea Masters, hari ini.
Pemain berusia 20 tahun itu berjaya meraih kemenangan selepas lawannya, Sittikhorn Thammasin menarik diri ketika perlawanan berada pada kedudukan 4-1 selepas mengalami kecederaan buku lali.
Keputusan itu menyaksikan Zii Jia akan membuat perhitungan bersama pilihan utama yang juga wakil tuan rumah, Son Wan Ho yang melangkah ke aksi final selepas mengetepikan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 21-19, 21-14.
Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikan juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei ke pentas final tidak kesampaian selepas dia tewas 21-23, 21-10, 14-21 kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 dari China, Li Xuerui.-UTUSAN ONLINE










