Yayasan Sarawak sediakan biasiswa kepada penuntut perubatan Unimas - Utusan Malaysia

Yayasan Sarawak sediakan biasiswa kepada penuntut perubatan Unimas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 12 Dis. – Kerajaan Negeri Sarawak, menerusi Yayasan Sarawak akan membelanjakan RM100 juta dalam bentuk biasiswa untuk 200 penuntut tahun pertama bidang perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam masa 10 tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif untuk memberikankan biasiswa kepada warga Sarawak yang layak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Unimas adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengubah ekonomi dan meningkatkan jumlah doktor di negeri ini.

“Anda semua adalah antara yang amat bertuah, anda mempunyai biasiswa dan kerana kerajaan prihatin kepada generasi muda dan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan insan dalam bidang perubatan selain daripada kejuruteraan dan teknologi komunikasi dan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian biasiswa Yayasan Sarawak bernilai RM500,000 kepada setiap 40 penuntut tahun pertama Unimas dari seluruh negeri yang melanjutkan pelajaran selama lima tahun dalam kursus perubatan, di sini hari ini.

Abang Johari yakin penerima biasiswa akan menyumbang perkhidmatan mereka kepada warga Sarawak sebaik tamat pengajian, yang mana nisbahnya adalah seorang doktor kepada setiap 800 pesakit berbanding nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit, di seluruh negara.

Beliau juga menggesa Yayasan Sarawak bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan untuk mengenal pasti kursus baharu untuk dipelajari oleh generasi muda Sarawak ke arah menjadikannya sebuah negeri maju menjelang 2030. – BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×