Yakult sedia bantu pemain Malaysia - Utusan Malaysia

Yakult sedia bantu pemain Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAKULT Malaysia sedia membantu pemain tempatan mengikut jejak langkah Hadi Fayyadh Abdul Razak selepas penyerang skuad bawah 19 tahun (B-19) negara itu berjaya mengikat kontrak setahun bersama kelab Divisyen 2, Liga Bola Sepak Profesional Jepun (J-League), Fagiano Okayama minggu lalu.

Selepas berjaya membantu Hadi menyertai kelab berpangkalan di Okayama itu, pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia tersebut bersedia membantu lebih ramai lagi pemain negara ini mendapat tempat pada saingan J-League.

Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada mahu kejayaan Hadi dapat membuka mata dan peluang kepada pemain lain untuk mengembangkan bakat di luar negara termasuk di negara matahari terbit tersebut.

“Kejayaan Hadi mendapat tempat bersama Fagiano Okaya­ma merupakan kegembiraan kepada pihak kami dalam usaha menaikkan nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

“Hadi menyuarakan keinginannya untuk bermain di Jepun selepas Kejohanan Bola Sepak Piala Sanix yang berlangsung Mac lepas dan kami berusaha membantunya mendapatkan tempat di Jepun.

“Saya mengharapkan kejayaan Hadi akan membuka ruang lebih ramai lagi pemain muda Malaysia beraksi pada saingan J-League. Pihak kami juga akan membantu mana-mana pemain yang ingin mencuba nasib di Jepun,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Fagiano Okayama, Tokuhiko Suzuki mengucapkan tahniah kepada Hadi selepas berjaya menjadi pemain Malaysia pertama beraksi pada J-League dan berharap agar Hadi dapat membantu kelab tersebut layak ke Divisyen Satu.

“Kami akan memberikan peluang yang sama rata kepada semua pemain dan jika Hadi berjaya menunjukkan prestasi yang baik, dia akan diturunkan dalam kesebelasan utama setiap perlawanan.

“Kami juga mengharapkan agar Hadi dapat membantu kelab ini layak ke Divisyen Satu, J-League tahun depan. Sebagai pemain muda ini, kami akan menyediakan sesi latihan khas buat Hadi dan pemain muda lain bagi meningkatkan kemahiran bola sepak mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN