KUALA LUMPUR 13 Dis. – Kerajaan disarankan untuk mengkaji serta mewujudkan satu akta khas berhubung tindakan segelintir ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengambil keputusan keluar parti atau mengosongkan kerusi tanpa sebab kukuh.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, undang-undang khas itu dilihat perlu bagi menghentikan tindakan pihak tertentu yang sewenang-wenangnya bertindak melompat parti.
Menurutnya, akta tersebut juga penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara untuk jangka masa panjang.
“Tindakan wakil rakyat yang dipilih menerusi proses pilihanraya dan sengaja melompat parti atau meletak jawatan tanpa sebab yang munasabah perlu dipandang serius.
“Perkara tersebut jelas akan menyebabkan politik negara kucar-kacir sekali gus memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










