NAYPYITAW, Myanmar – Jaguh renang negara, Welson Sim membuka kempen Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 dengan penuh bergaya apabila memenangi pingat emas acara 400 meter (m) gaya bebas dengan mencatatkan rekod baharu kejohanan.
Olimpian negara berusia 21 tahun itu mencatatkan masa tiga minit 55.02 saat (s) di Pusat Akuatik Wunna Theikdi kelmarin untuk memadam rekod lama 3:56.01s milik perenang Singapura, Pang Sheng Jun yang melakukannya pada AUG 2016.
Bagaimanapun, pembawa Jalur Gemilang pada edisi kali ini belum boleh berpuas hati dengan catatan tersebut jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan 3:49.48s yang dilakukannya di Monte Carlo tahun lepas.
Catatan itu juga dilihat masih jauh dengan rekod 400m gaya bebas Sukan SEA miliknya iaitu 3:50.56s sewaktu memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
“Saya akui cabaran sangat sukar menyebabkan catatan masa jauh daripada rekod peribadi terbaik,” kata Welson yang berjaya mengetepikan pemenang pingat perak dan gangsa masing-masing dari Indonesia, Aflah Falan Prawira serta perenang Thailand, Kittiya Thanakrit.
Turut cemerlang pada saingan hari pertama akuatik kelmarin ialah Chan Jie yang memenangi pingat emas dalam acara 50m kuak kupu-kupu dengan catatan masa 25.05s manakala rakannya, Tern Jian Han meraih tempat ketiga.
Jian Han sekali lagi berjaya menyumbang pingat buat kontinjen negara apabila memenangi tempat kedua 200m kuak lentang sementara Teong Sie Hung meraih tempat ketiga dalam acara sama.
Seorang lagi perenang negara yang berjaya meraih pingat gangsa ialah Ng Yi Hao dalam acara 200m kuak dada.











