KUALA LUMPUR 19 Dis. – Petisyen menuntut pelucutan jawatan P. Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ditandatangani kira-kira 300,000 rakyat Malaysia adalah petunjuk jelas bahawa beliau adalah seorang menteri yang gagal.
Menyifatkan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu sebagai liabiliti besar buat kerajaan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpendapat kerajaan perlu segera mengambil tindakan.
“Saya tidak fikir Waytha (Moorthy) punya kewibawaan moral lagi untuk menjadi anggota kerajaan. Rakyat menolak kemampuan Waytha berfungsi sebagai Menteri yang mengusahakan perpaduan. Tindakan dan pemikiran beliau tidak selari dengan aspirasi kerajaan dan kehendak rakyat.

“Suara sekutu politik PH (Pakatan Harapan) sendiri turut menggesa Waytha meletakkan jawatan memberi mesej yang sangat jelas. Kegagalan berbuat sesuatu dalam kadar segera akan memberikan gambaran sangat negatif kepada kerajaan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Waytha Moorthy menjadi sasaran kemarahan orang ramai selepas anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang dipukul ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman tiga minggu lalu meninggal dunia kelmarin.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini tiada pilihan lain selain daripada memecat atau menggugurkan Waytha Moorthy daripada barisan Kabinet.

Menurut beliau, selagi Waytha Moorthy berada dalam Kabinet, kerajaan PH akan dianggap tidak mempunyai kredibiliti, tidak bermaruah serta tidak prihatin kepada rakyat.
Kata beliau, banyak janji PH kepada rakyat yang tidak tertunai, malah, peri laku buruk seorang anggota Kabinet juga didapati gagal diambil tindakan.
“Ini seolah-olah Kabinet mainan yang tiada maruah. Kabinet retorik sahaja. Segeralah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bertindak. Jangan tunggu lama-lama. Nanti rakyat makin marah.
“Tidak perlulah rakyat terpaksa demonstrasi. Kini, demonstrasi sudah mula menjadi budaya rakyat. Kasihanlah kepada rakyat yang kini kehidupan mereka amat tertekan kerana peningkatan kos sara hidup yang dahsyat,” katanya dalam kenyataan di sini.










