KUALA LUMPUR 19 Dis. – Petisyen menuntut pelucutan jawatan P. Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ditandatangani hampir 300,000 rakyat Malaysia adalah petunjuk jelas bahawa beliau adalah seorang menteri yang gagal.
Menyifatkan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu sebagai liabiliti besar buat kerajaan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpendapat kerajaan perlu segera mengambil tindakan.
“Saya tidak fikir Waytha (Moorthy) punya kewibawaan moral lagi untuk menjadi anggota kerajaan. Rakyat menolak kemampuan Waytha berfungsi sebagai Menteri yang mengusahakan perpaduan. Tindakan dan pemikiran beliau tidak selari dengan aspirasi kerajaan dan kehendak rakyat.
“Suara sekutu politik PH (Pakatan Harapan) sendiri yang turut menggesa Waytha meletakkan jawatan memberi mesej yang sangat jelas. Kegagalan berbuat sesuatu dalam kadar segera akan memberikan gambaran yang sangat negatif kepada kerajaan sendiri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Waytha Moorthy menjadi sasaran kemarahan orang ramai selepas anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang dipukul ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman tiga minggu lalu meninggal dunia kelmarin. – UTUSAN ONLINE










