SEREMBAN 7 Dis. – Seorang wanita warga Singapura maut selepas tercampak keluar dari bas ekspres dinaikinya dalam kemalangan di Kilometer 269 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa, Serina Mat Idris, 27, tercampak dari tingkat atas bas ekspres dua tingkat itu yang berlanggar dengan sebuah lori.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, bas ekspres itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Genting Highlands semasa kemalangan.
“Wanita itu disahkan maut di lokasi kejadian. Pemandu bas tersepit di tempat pemandu. Dua penumpang lain masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita cedera.
“Seramai 15 penumpang lain terselamat dalam kemalangan itu. Kelindan lori terlibat turut mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










