Wanita redah api selamatkan diri - Utusan Malaysia

Wanita redah api selamatkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI – Seorang wanita melecur pada belakang badan dan muka apabila dia nekad meredah ruang tamu rumahnya yang terbakar untuk menyelamatkan diri dalam kejadian di Taman Desa Indah di sini kira-kira pukul 11.15 malam kelmarin.

ANGGOTA bomba mendukung salah seorang mangsa yang berjaya diselamatkan dalam kejadian kebakaran rumah di Nilai kelmarin.

Kebakaran di rumah teres dua tingkat yang berlaku ketika semua mangsa sedang tidur itu turut menyebabkan dua anak wanita tersebut masing-masing berusia 19 dan enam tahun diserang asma akibat terhidu asap dalam kejadian itu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Jamaludin Latif berkata, mangsa Norhanizah Ibrahim, 45, yang melecur lima peratus pada belakang badan dan muka itu memaklumkan menyedari kebakaran tersebut apabila terjaga daripada tidur selepas mendengar salakan anjing dan menghidu bau asap.

“Wanita tersebut yang cuba menyelamatkan diri bertindak nekad meredah ruang tamu yang terbakar untuk keluar dari rumah tersebut. Empat anaknya keluar melalui tingkap bilik atas menggunakan tangga de­ngan bantuan jiran mereka,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, ketika kejadian suami wanita tersebut tidak ada di rumah.

Mengulas lanjut mengenai kejadian menurut Jamaludin, kebakaran tersebut memusnahkan ruang tamu rumah yang menempatkan dua buah sofa, sebuah tele­visyen dan sebuah meja makan.

“Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Jelasnya, tindakan pantas jiran-jiran mangsa menggunakan air paip dari rumah masing-masing berjaya mengawal api daripada merebak ke kediaman berhampiran sebelum ketibaan pihak bomba pada pukul 11.35 malam.

“Api telah dikawal apabila pasukan bomba tiba dan kami mengambil masa selama beberapa minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN