KUALA LUMPUR – Pihak kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan Siri Op Gading di Cameron Highlands dan akan dilaksanakan menggunakan kaedah dan strategi pelbagai serta inklusif pada masa akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, fasa akan datang Op Gading akan mengutamakan aspek pengukuhan kebajikan dan kesejahteraan pekebun kecil, Orang Asli dan penjagaan alam sekitar.
“Strategi itu penting kerana Cameron Highlands menjadi penyumbang utama kepada kemampanan sektor pertanian negara dan keselamatan makan negara. Oleh itu, kita perlu memastikan alam-sekitar dipelihara dan kebajikan pekebun kecil dan orang asli dijaga.
“Keselamatan perkampungan Orang Asli di kawasan curam mesti diberi perhatian khusus disamping kesejahteraan masyarakat itu yang menjadi sebahagian daripada komuniti penting di Cameron Highlands,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Keputusan itu telah dicapai dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands di Putrajaya yang dipengerusikannya dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
Siri Op Gading telah dilaksanakan mulai tahun 2015 hingga 2018 tetapi Op Gading IV, yang bermula pada 1 Januari 2018 telah ditangguhkan sementara dari bulan Mei hingga Oktober 2018.
Menurut Wan Azizah lagi, semua agensi yang terlibat mesti meneruskan kerjasama strategik demi memastikan kelestarian persekitaran dan kehidupan.
“Kita perlu mendidik dan menyemai budaya menjaga sungai-sungai di negara kita seperti jangan membuang sampah dan plastik ke dalam sistem saliran sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Dr. Wan Azizah berkata, mesyuarat hari ini menimbangkan beberapa perkara antaranya mahu Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands mengatasi masalah pencerobohan tanah kerajaan, rizab sungai dan rizab jalan dengan melaksanakan penguatkuasaan di peringkat negeri, daerah dan persatuan pekebun.
Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada bulan Julai 2019 bagi menilai semula laporan pelaksanaan Op Gading oleh Kerajaan Negeri mengenai perkara yang telah disebutkan. – K! ONLINE









