KUALA LUMPUR 3 Dis. – Peguam kontroversi Siti Kasim yang tewas dalam pemilihan ahli Jawatankuasa Majlis Peguam bagi sesi 2019/2020 akan terus berkhidmat kepada badan itu dan masyarakat.
Menurut Siti Kasim, beliau sentiasa memberi khidmat kepada Majlis Peguam dan masyarakat sebelum menjadi ahli jawatankuasa badan tersebut dan akan terus berbuat demikian.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang terpilih sebagai ahli jawatankuasa. Terima kasih kepada mereka yang mengundi saya.
“Mari teruskan berkhidmat kepada masyarakat dan anggota majlis tanpa takut dan pilih kasih,” kata Siti Kasim dalam hantaran di Facebook awal pagi ini.
Pada pemilihan yang diumumkan malam kelmarin, lapan daripada 10 calon pasukan yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan berpendirian menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dipilih sebagai ahli Jawatankuasa Majlis Peguam.
Siti Kasim berada pada kedudukan ke-17 dengan 1,748 undi. -UTUSAN ONLINE










