Wakil Armada cadang PPSMI dilaksana semula - Utusan Malaysia

Wakil Armada cadang PPSMI dilaksana semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 Dis. – Perwakilan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) hari ini mencadangkan agar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikembalikan semula di sekolah-sekolah.

Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, cadangan itu dinyatakan oleh wakil Armada Kelantan yang melihat wujud keperluan untuk mengembalikan PPSMI ke arah mempertingkatkan pembangunan kemahiran insaniah atau soft skills pelajar.

Menurutnya, perkara itu diulas dengan panjang lebar oleh wakil tersebut yang menekankan hasil laporan Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini yang menunjukkan bahawa antara sebab utama wujud pengangguran dalam kalangan anak muda adalah kerana kekurangan ‘soft skills’ dan keyakinan penguasaan dalam bahasa Inggeris

“Langkah mengembalikan semula PPSMI ini dilihat oleh segelintir pihak boleh mengurangkan kemelayuan.

“Ini tidak benar kerana dalam bab ini, ada cadangan mengembalikan PPSMI tetapi akan bekerjasama rapi dengan pihak Dewan Bahasa dsn Pustaka (DBP) supaya kita dapat bergerak ke hadapan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Sesi perbahasan perwakilan Armada dijalankan secara tertutup.

PPSMI dimansuhkan mulai 2012 di sekolah rendah dan sekolah menengah namun bahasa Inggeris terus menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan tingkatan 6.

Pemansuhkan itu diumumkan oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai 2009 setelah mendapat kecaman parti politik, ibu bapa, cendekiawan, gerakan pelajar dan mahasiswa, pakar bahasa dan sasterawan di Malaysia.

Selain itu, kajian bebas antarabangsa turut membuktikan tahap pencapaian negara merosot dengan teruknya dalam kalangan 59 negara.

Untuk rekod, Muhyiddin kini merupakan Presiden Bersatu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN