ISTANBUL 30 Dis. – Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun bertemu dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk berbincang mengenai kebajikan pelarian Syria di Turki, di sini hari ini.
Menerusi pertemuan selama sejam itu, Vincent Tan memberitahu Erdogan bahawa pihaknya bersedia untuk membantu pelarian Syria di negara tersebut termasuk membantu dari segi pendidikan di Sekolah Antarabangsa El Menahil, di sini.
“Dalam perbincangan itu, Erdogan bersetuju untuk memberikan sebidang tanah kepada Yayasan Tzu Chi bagi tujuan membina sekolah baharu untuk pelarian Syria dan menambah kuota pendidikan Advance CE untuk mereka.
“Setakat ini, kuota yang diberikan hanya terhad kepada 351 pelajar di Sekolah Antarabangsa El Menahil di sini dan jumlah tersebut akan ditingkatkan kepada 3,000 pelajar selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan tersebut, di sini hari ini.
Turut hadir bertemu dengan Erdogan ialah Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai dan wakil Yayasan Tzu Chi di Turki, Faisal Hu.
Menurut Vincent Tan, kuota Advance CE khusus untuk pelarian Syria itu penting bagi membantu mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Tzu Chi banyak membantu sekolah tersebut dari segi pendidikan untuk pelarian Syria dan peluang yang diberikan Erdogan akan membuka lebih ruang kepada mereka untuk mendapatkan masa depan yang lebih cerah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Vincent Tan turut menyeru lebih ramai ahli korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil memberi bantuan kepada pelarian Syria di Turki.
“Kita ada banyak NGO serta ahli korporat kaya yang boleh membantu dan apa yang saya buat bukan untuk publisiti, tetapi untuk memberi semangat dan keceriaan sambil memberi bantuan,” jelasnya. – UTUSAN










