KUALA LUMPUR 23 Dis. – Sebuah lagu bertajuk ‘Perginya Sahabat Wira’ kini tular dalam media sosial Facebook dan laman perkongsian video, YouTube sejak beberapa hari lalu.
Muzik video berduarasi 3.09 saat itu, didedikasikan khusus untuk enam penyelam bomba yang lemas ketika operasi menyelamat remaja terjatuh di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 4 Oktober lalu.
Sejak muzik video itu dimuat naik, ia telah ditonton lebih daripada 29,638 kali.
Ketua Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)Negeri Selangor, Mohd. Nurizwan Basri, 33, berkata, lagu ‘tribute’ tersebut dicipta khusus bagi memperingati jasa dan bakti enam wira bomba yang terkorban dua bulan lalu.
“Lagu ini dicipta dan dinyanyikan oleh Pegawai Bomba (PB) Izzat Izwan Mohd. Noor manakala liriknya dihasilkan oleh PB Mohd. Azlan Mohd. Noor. Kedua-dua mereka merupakan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya.
“Sepatutnya ia siap lebih awal tetapi disebabkan kekangan tugas dan terlalu beremosi menyebabkan lagu ini mengambil masa dua bulan untuk disiapkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Mohd. Nurizwan, lagu ini dimuat naik di YouTube pada 1 November lalu dan semakin tular dalam laman sosial setelah ia dimuat naik di laman Facebook ‘Friends Of Bomba Malaysia’.
“Sebenarnya JBPM Selangor mempunyai sebuah kumpulan kombo terdiri dalam kalangan anggota bomba yang berbakat dalam muzik.
“Lagu tribute seumpama ini pernah dihasilkan sebelum ini bagi mengingati rakan-rakan kami yang terkorban semasa bertugas,” ujarnya.
Mohd. Nurizwan memberitahu, pihaknya juga sedang merancang untuk menghasilkan sebuah lagu buat arwah PB Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terkorban dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu. – UTUSAN ONLINE










