KUALA LUMPUR 18 Dis. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menyerahkan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menjalankan tugas-tugas Presiden parti bagi menyelamatkan UMNO daripada terus berpecah dan juga demi penyatuan ahlinya.
Presiden UMNO itu berkata, langkah tersebut penting dalam usaha memastikan UMNO bangkit kembali terutama ketika ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima pelbagai tekanan agar meninggalkan parti itu.
“UMNO wajib diselamatkan daripada rebah.
“Akar umbi amat mengharapkan pimpinan UMNO bersatu hati untuk menterjemahkan hala tuju UMNO sesuai dengan slogan baharu ‘UMNO Bangkit’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO boleh bangkit dan bingkas bangun semula jika perpaduan terus dimantapkan dan bersatu pemikiran dalam sebuah pasukan parti yang diperkasakan. – UTUSAN ONLINE










