KUALA KANGSAR 29 Dis. – Satu rakaman video kenderaan yang dipandu secara melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak tular di media sosial sejak semalam.
Tindakan berbahaya pemandu yang belum dikenal pasti itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya mengecam tindakan tersebut.
Menerusi rakaman video berdurasi lapan saat itu, kenderaan yang masih belum dikenal pasti itu dikatakan dipandu menuju ke arah selatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Zahiri Hassan ketika dihubungi berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, pihak PLUS sendiri sedang cuba mengesan kenderaan berkenaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Setakat ini kita tiada maklumat dan sedang mengesan kenderaan itu dengan menggunakan pelbagai kaedah selain bekerjasama dengan pihak PLUS.
“Kita juga tidak pasti lokasi sebenar kejadian itu sama ada berlaku di Kuala Kangsar atau di tempat lain. Bagaimanapun siasatan akan dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE










