KUALA LUMPUR 30 Nov. – Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands akan diadakan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengisytiharkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C. Sivarraajh adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.
Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika membacakan penghakimannya menyatakan sepanjang perbicaraan tiada mana-mana pihak menafikan terdapat perbuatan memberikan wang kepada tok batin.
“Mahkamah mendapati terdapat corak perlakuan untuk memberi wang kepada pengundi pada waktu penting seperti pilihan raya. Tidak dinafikan Orang Asli memerlukan dan menerima apa jua bantuan tidak kira dalam bentuk wang atau bentuk lain. Walaupun dinyatakan wang tersebut adalah untuk kegunaan harian namun ia adalah bagi melindungi niat sebenar iaitu untuk mempengaruhi undi.
“Walaupun terdapat percanggahan mengenai siapa yang beri duit namun apa yang perlu dibuktikan ialah tindakan memberikan wang kepada pengundi. Saya berpendapat pempetisyen, M. Manogaran telah berjaya membuktikan melangkaui keraguan munasabah bahawa aktiviti rasuah telah berlaku dan wang tersebut telah diberikan secara terus atau melalui ejen oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kini Menteri Besar Pahang) untuk mempengaruhi undi.
“Oleh itu saya mendapati terdapat amalan rasuah telah dilakukan sewaktu kempen pilihan raya dan dalam pengetahuan responden (Sivarraajh),” katanya.
Hakim Azizah sehubungan itu memaklumkan akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands P078 adalah terbatal kerana telah berlaku rasuah bagi mempengaruhi pengundi di Parlimen terbabit dengan keizinan responden.
“Bagaimanapun, saya tidak akan melaporkan siapa individu terlibat dalam pemberian rasuah tersebut kerana terdapat percanggahan dalam keterangan saksi-saksi mengenai identiti pemberi rasuah,” ujar Hakim Azizah.
Mahkamah turut menetapkan kos sebanyak RM15,000 yang perlu dibayar oleh Sivarraajh kepada Manogaran.
Menurut laporan sebuah portal berita, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC berkata, beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Video oleh ZAINI HUSIN
Manogaran, 59, yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang memfailkan petisyen pada 4 Jun lalu dengan memohon perisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ini berikutan Manogaran mendakwa, Sivarraajh memberi rasuah kepada pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.
Manogaran mendakwa, Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Wan Rosdy memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi calon Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan membabitkan lima penjuru.
Dakwa Manogaran lagi, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai selama tiga penggal berturut-turut sejak PRU-11, amat terkenal dalam kalangan pengundi di kawasan itu dan bertanggungjawab memperkenalkan Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli.










