[VIDEO] Peserta My Study Tour teruja tiba di Korea - Utusan Malaysia

[VIDEO] Peserta My Study Tour teruja tiba di Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Program lawatan sambil belajar My Study Tour yang disertai 30 pelajar dan guru daripada sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Gombak serta Selangor berjaya tiba di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Salah seorang peserta My Study Tour, Ainul Mardhiah Khairil Rizal berkata, peluang melawat ke Euha Women’s University sangat menakjubkan dan menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk menjejakkan kaki menuntut ilmu di sana.

“Euha University memang sebuah universiti yang terkenal dan orang ramai akan melawat ke sini sekiranya datang ke Korea. Persekitaran yang mengujakan, kemudahan dan sistem pengajian di sini amat lengkap dan ini adalah universiti terbaik pernah saya lihat.

“Saya sangat berharap suatu hari nanti saya dapat melanjutkan pelajaran di universiti ini,” katanya semasa menjalani lawatan tersebut.

Program yang telah memasuki tahun ketiga penganjurannya itu turut mendapat reaksi positif daripada Adam Malik Rizal yang turut bersama merasai keterujaan berada di Korea.

“Hari ini saya baru sahaja melawat sebuah istana yang telah dibina beratus tahun dahulu. Ia benar-benar membuat saya teruja kerana istana tersebut menyimpan pelbagai sejarah Korea. Apa yang pasti, pengalaman ini sangat menakjubkan dan tidak akan dilupakan,” katanya.

Pengisian program lawatan itu akan diteruskan dengan lawatan ke Muzium Teknologi Samsung serta kunjungan ilmu ke sebuah universiti terkenal Korea.

Program ilmiah tersebut diadakan pada setiap cuti penggal persekolahan termasuk program bagi tahun 2019 melalui pendaftaran di laman web mystudytour.com.my atau di pautan facebook mystudytour. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×