[VIDEO] Perjalanan terakhir wira negara - Utusan Malaysia

[VIDEO] Perjalanan terakhir wira negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH 18 Dis. – Cuaca redup mengiringi perjalanan terakhir wira negara, Muhammad Adib Mohd. Kassim,24, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebengau di sini, hari ini.

Jenazah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Selangor itu selamat dikebumikan kira-kira pukul 1.45 petang ini yang dihadiri ahli keluarga terdekat dan ribuan penduduk setempat serta kenalan-kenalan lain.

Suasana sayu menyelubungi upacara pengebumian tersebut apabila bapa, Mohd. Kassim; Ibu, Asma Aziz serta tunang Muhammad Adib dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata saat menatap pusara insan kesayangan mereka itu.

Jenazah Muhammad Adib Mohd. Kassim diturunkan ke liang lahad
Jenazah Muhammad Adib Mohd. Kassim diturunkan ke liang lahad. UTUSAN ONLINE/FARIZ RUSADIO

Jenazah Muhammad Adib sebelum itu disembahyangkan untuk kali terakhir di Masjid Al- Saadah di sini yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah Allahyarham.

Terdahulu jenazah anggota bomba itu tiba di kampung halamannya di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini kira-kira pukul 10.55 pagi selepas diterbangkan dengan menaiki helikopter Mi17-iv dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang, Selangor.

Nurul Najihah Mohd. Radzi menabur bunga mawar ke pusara Muhammad
Nurul Najihah Mohd. Radzi menabur bunga mawar ke pusara Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini. – UTUSAN ONLINE/FARIZ RUSADIO

Ribuan penduduk, saudara mara serta sahabat-handai memenuhi pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tebengau di sini, menyambut ketibaan Allahyarham Muhammad Adib sebelum turut mengiringinya ke rumah bagi memberikan penghormatan terakhir.

Malah sebelum itu, orang ramai yang difahamkan turut datang dari seluruh negeri ini dilihat memenuhi tepi-tepi jalan sejauh dua kilometer sekitar kawasan berkenaan sejak pukul 7 pagi bagi menunggu ketibaan jenazah.

Mohd Kassim Abdul Hamid tidak dapat menahan sebak ketika jenazah
Mohd Kassim Abdul Hamid tidak dapat menahan sebak ketika jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebengau, Kuala Kedahi, hari ini. – UTUSAN ONLINE/FARIZ RUSADIO

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh dan pemimpin-pemimpin setempat.

Turut kelihatan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang; Mufti Perlis dan Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Setelah 21 hari bertarung nyawa akibat cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu, Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam kejadian 27 November lalu, Muhammad Adib bersama pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya telah pergi ke kuil berkenaan untuk memadamkan satu kebakaran kereta namun mereka telah diserang oleh sekumpulan perusuh sebelum Muhammad Adib dipukul sehingga mengalami kecederaan parah. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×