BERITA pertemuan antara tiga ikon politik semasa tanah air iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dengan pantas mendapat perhatian ramai yang memberikan pelbagai reaksi.
Pertemuan itu yang berlangsung di sebuah restoran di Bangsar baru-baru ini mencuri tumpuan kerana berlaku selepas sehari Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang tanpa memberikan sebarang isyarat awal.
Bagi mendapatkan perspektif lebih jelas berhubung tindakan Nurul Izzah itu, wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH mendapatkan pandangan Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL ketika kunjungan ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad baru-baru ini.
MINGGUAN MALAYSIA: Sejak beberapa hari lalu tersebar berita bahawa pertemuan Nurul Izzah bersama Rafizi dan Khairy Jamaluddin bertujuan menubuhkan parti baharu, benarkah dakwaan tersebut?
SAIFUDDIN NASUTION: Ada dua perkara yang saya hendak respons, sepanjang mengenali Rafizi dan Nurul Izzah tiada perkara yang mereka buat tidak berkongsi dengan saya, memang dalam makluman saya hubungan mereka dengan Khairy ini sudah lama, bukan setakat makan tengah hari di Bangsar.
Kedua, saya berpeluang berbual dengan mereka berdua di Bukit Bintang mengenai isu ini, jawapan mereka ialah mereka tidak pernah berbincang mengenai hasrat menubuhkan parti baharu atau parti untuk orang muda. Antara isu yang dibincangkan ialah daripada perkara santai hingga melibatkan kehidupan seperti menghantar anak ke sekolah kebetulan anak dia (Nurul Izzah), Safiah (Raja Nur Safiyah) dan Harith (Raja Harith) belajar di sekolah swasta yang di sebelah pagi mengikuti pelajaran biasa dan petang belajar agama. Mereka juga bercerita mengenai teknologi terkini dan Rafizi tentu sahaja lebih santai berbual mengenai hal penjagaan diri supaya perut jangan ke hadapan. Lagi pun perjumpaan itu berlaku masa makan tengah hari jadi tiada tajuk berat macam keluar parti.
Selain isu pertemuan itu, pemerhati politik juga tertarik dengan tindakan Nurul Izzah melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi MPN Pulau Pinang . Apa kesan kepada PKR dan PH sendiri?
SAIFUDDIN NASUTION: Saya boleh buat kesimpulan Nurul Izzah sangat komited dengan agenda perubahan, orangnya penuh dengan idealisme. Beliau berasa sangat terkesan dengan mandat yang diberi rakyat sehingga berjaya mengubah sejarah negara dalam tempoh masa 61 tahun. Dengan keadaan yang berlaku dalam politik negara sekarang, baik dalam PH atau pun membabitkan parti pembangkang termasuk keluar parti, standby (berjaga-jaga) dan memilih untuk masuk parti lain perkara itu sangat mengganggu dan meresahkan beliau.
Beliau mempunyai pandangan sendiri tetapi disebabkan jaket (sebagai) Naib Presiden PKR, anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anak kepada Timbalan Perdana Menteri beliau merasakan tersekat untuk bercakap secara terus terang jadi jalan mudah untuk permulaan ialah dengan berundur.
Saya beri tahu beliau biar apa pun berlaku jangan keluar daripada bot, kita sedang belayar kalau duduk di pinggir tidak mengapa cuma jangan keluar duduk di darat sebab 20 tahun perjuangan bukan tempoh singkat dari usia remaja sehingga mencipta nama seperti sekarang. Selain itu, saya juga ada bertanyakan sama ada beliau terganggu dengan tohmahan nepotisme, katanya tidak sama sekali.
Seperkara lagi jawatannya sebagai naib presiden bukan dilantik tetapi beliau bertanding, anggota parti yang memilihnya. Bagi jawatan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang pula ia dilantik oleh Anwar, mengikut Perlembagaan parti, presiden boleh melantik seorang pengerusi negeri selepas berunding dengan ketua-ketua cabang, jadi di Pulau Pinang terdapat 13 cabang dan Anwar berjumpa dengan mereka serta berunding, kemudiannya Anwar membuat undian sulit dan minta mereka menulis nama siapa yang hendak diangkat, ternyata Nurul Izzah menerima sokongan sangat tinggi. Jadi menurut Anwar, bagi menghormati pilihan itu beliau melantik Nurul Izzah.
Bagaimanapun, Nurul Izzah menyebut perkara itu tidak merungsingkannya yang menjadi isu sekarang perkembangan yang mana PH dilihat terkalih sedikit tumpuan sama ada hendak terima atau tidak si polan yang keluar parti.
Adakah ini bermaksud peletakan jawatan Nurul Izzah sebagai simbolik penentangan terhadap tindakan keluar secara beramai-ramai pemimpin UMNO ke PH?
SAIFUDDIN NASUTION: Saya tidak guna istilah Nurul Izzah menentang cuma bagi saya perkembangan yang berlaku dan apa yang saya faham, perkara itu tidak menggembirakannya. Beliau juga tidak fikir keadaan itu macam kondusif dalam suasana PH perlu bergerak secara lebih baik sebagai kerajaan dengan portfolio sebagai menteri dan lain-lain, menterjemah agenda reform perkara nombor satu, itulah makna kemenangan reformasi jadi terjemahkan ini dahulu sekarang kamu sudah pegang jawatan eksekutif boleh mempengaruhi dasar maka terjemahkannya. Rakyat sudah beri mandat.
Adakah peletakan jawatan Nurul Izzah memberi kesan secara langsung atau boleh menimbulkan konflik antara pemimpin PKR?
SAIFUDDIN NASUTION: Kesan kepada parti sudah tentu ada sebab beliau bukan nama kecil, mempunyai populariti yang tinggi. Kesan yang membawa kepada istilah konflik sebenarnya tidak begitu membimbangkan sangat sebab PKR hidup dalam dunia konflik dari mula sampai sekarang, tidak habis-habis dari 1998. Namun, terdapat satu pepatah Arab yang menyebut kalau hendak tahu emas itu bermutu tinggi ialah dengan membakarnya berulang-ulang kali. Setiap parti politik prinsipnya ialah bertanding dalam pilihan raya dan menang, konflik macam mana pun yang datang seperti ribut, petir dan ombak besar pada akhirnya orang akan tanya PKR menang berapa kerusi? Itu sahaja orang hendak tengok. Berhubung Nurul Izzah pula, banyak juga anggota parti meminta saya pujuk beliau namun, biar keadaan reda dahulu dan buat masa sekarang saya tidak mahu desak apa-apa.
Benarkah ada cakap-cakap mendakwa Nurul Izzah berbuat demikian kerana mahu menamatkan zaman solonya? SAIFUDDIN NASUTION: Walaupun saya rapat dengan Nurul Izzah hal dalam kawasan dia saya tidak tanya, tetapi sebab hendak hilangkan keraguan (saya jawab), walaupun serapat mana pun saya dengan beliau kalau beliau cerita saya akan kongsi kalau dia tak kongsi saya tidak anggap patut kacau dalam wilayah peribadinya, sebab itu hubungan kami dapat terjaga kerana kami menjaga tahap profesionalisme.
Berhubung sikap Nurul Izzah yang agak kecewa dengan perkembangan politik semasa, amaran mengenai Ahli Parlimen UMNO akan melompat ke Bersatu diberitahu sejak Oktober lalu oleh Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin, adakah PH tidak sedar?
SAIFUDDIN NASUTION: Bukan tidak menyedarinya, saya hendak tegaskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dalam mesyuarat awal yang dibuat menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH kita sudah membincangkan isu ini, ketika itu belum ada yang melompat parti kecuali dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak. Waktu itu PH mempunyai 29 ADUN campur dua ADUN tadi jadi 31 ADUN manakala BN dan Pas masing-masing ada 27 dan tiga ADUN.
Peristiwa itu yang sebenarnya isu lompat parti paling awal, mereka keluar dan masuk tanpa ada tempoh edah. Masa itu kita sudah berbincang jika pada masa depan lebih banyak pemimpin UMNO yang masuk. Berikutan itu, kami membuat ketetapan umum tanpa mengikat apa-apa, persoalannya kenapa rakyat menolak UMNO? Sebabnya rakyat marah jadi jika kami menerima mereka begitu sahaja, kemarahan itu akan berpindah kepada PH.
Oleh itu, kita membuat beberapa ketetapan iaitu pertama, perlu secara terbuka isytihar keluar parti, kedua perlu ada tempoh edah tetapi kita tidak sebut berapa lama, kemudian jika ada permohonan menyertai mana-mana parti dalam PH, parti itu perlu meneliti, jika ada liabiliti perlu menggunakan kebijaksanaan sama ada menerima atau tidak. Tiba-tiba betul berlaku, macam Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin termasuk Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang turut berminat jadi timbul pula pandangan menyokong dan menolak.
Ahli Parlimen Larut mendakwa terdapat 36 ahli Parlimen BN termasuk UMNO telah menandatangani surat akuan sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan terdapat ura-ura ada pihak mahu menjatuhkan Perdana Menteri, benarkah dakwaan tersebut?
SAIFUDDIN NASUTION: Dr. Mahathir ialah Pengerusi PH dan Perdana Menteri, beliau diangkat oleh Ahli Parlimen PH sebagai Perdana Menteri, sekarang PH ada 129 kerusi termasuk yang baru masuk. Berkaitan hal undi tidak percaya jika ada, siapa yang hendak buat? Dalam sesebuah kerajaan yang akan buat biasanya pembangkang.Kita dah sama-sama duduk dua tahun dengan membina pakatan, ke hulu ke hilir berkempen, bertanding atas satu logo sama, buat konsesus Perdana Menteri ialah Dr. Mahathir, timbalannya, Dr. Wan Azizah dan bakal Perdana Menteri ialah Anwar, tiba-tiba timbul isu undi tidak percaya jadi logiknya undi tidak percaya datang daripada siapa? Tentunya daripada pembangkang, jadi kena tanya beliau siapa yang hendak buat. Soalan itu hanya Hamzah boleh jawab.










