KUALA LUMPUR 27 Dis. – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) meneruskan hubungan dan kerjasama erat dengan pelbagai pihak menerusi penganjuran program Menembak Bersama Rakan Media dan Agensi Kerajaan.
Acara tahunan yang berlangsung di Lapang Sasar Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Batu 9, Cheras di sini hari ini dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali.
Program untuk kali ketiga yang menarik minat seramai 112 peserta itu mempertaruhkan dua kategori iaitu ‘center fire’ dan ‘falling plate’ dengan hadiah keseluruhan ditawarkan berjumlah RM1,900.
Antara agensi kerajaan terlibat adalah MPSJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Subang Jaya, PDRM Daerah Serdang, PGA Batu 9 dan Jabatan Bomba dan Penyelamat manakala agensi media pula Utusan Malaysia, Kosmo, Sinar Harian, Harian Metro, Sin Chew Daily dan TV Al-Hijrah.
Yang turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan. – UTUSAN ONLINE










