[VIDEO] Minum, mandi air babi! - Utusan Malaysia

[VIDEO] Minum, mandi air babi!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJIJIKKAN! Itulah realiti yang dialami kira-kira 1,500 orang penduduk Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. Mungkin tidak terfikir dek akal, jarak kampung itu hanya kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, namun mereka masih hidup serba daif. Puncanya, tiada bekalan air terawat.

Bagi meneruskan kehidupan, sumber air asli dari bukit berhampiran terpaksa digunakan untuk minum, masak, mandi dan berwuduk. Memang nampak bersih, jernih, tetapi kesucian kandungannya, siapa tahu?

Othman Abdul Wahab, 62, menceritakan kejadian yang pernah dilaluinya. Dia tercium bau meloyakan datang dari air yang disalurkan ke rumahnya.

Lantas dia memeriksa kolam tadahan yang dibuatnya sendiri terletak di atas bukit. Alangkah terkejut apabila dia dapati bangkai seekor babi hutan, dipercayai sudah beberapa hari di dalamnya.

“Apa maknanya itu? Bermakna saya sudah beberapa hari minum air babi, mandi air babi, semua itulah!

“Bayangkan, sudah 11 tahun saya tinggal di sini. Segala macam benda masuk dalam air yang saya minum. Ikan mati, katak mati. Itu yang saya jumpa, yang tidak jumpa?” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bukan tiada saluran paip disediakan oleh pihak berkuasa tetapi kewujudannya tidak membawa sebarang makna. Buka paip, hanya bunyi angin yang keluar, bukan air. Setiap kali dibuka meter tetap berjalan dan hujung bulan dapat bil air.

Itu yang membuatkan mereka berang sebab kena bayar angin, bukan bayar air. Oleh kerana terlalu marah, ada penduduk mengoyakkan bil air setiap kali menerimanya.

Sebelum ini, keadaan di kampung itu cukup berbeza. Menurut Pengerusi Surau Al Jama’iah, Batu 23, Ruslan Ahmad Zaini, 75, dahulu bekalan air terawat ke kampung berkenaan begitu sempurna.

Walau bagaimanapun, selepas 2002, bermulanya detik kesengsaraan. Bekalan air sering terganggu, sekejap ada, sekejap tiada. Keadaan bertambah buruk, enam, tujuh tahun kebelakangan ini, langsung tiada air.

Bukan setakat rumah, sekolah yang ada di situ pun dikatakan menggunakan sumber air dari sungai dan bukit. Barangkali Klinik Desa Sungai Lui milik kerajaan pun begitu, mungkin?

Jelas Ruslan, bukan dia tidak pernah buat laporan malah sudah berpuluh-puluh aduan dihantarnya kepada pihak berwajib tetapi tiada tindakan penyelesaian diambil.

“Setiap kali buat aduan, mereka (pihak berwajib) datang rumah periksa. Alasan sama diberikan iaitu tekanan rendah. Apabila saya minta naikkan tekanan, mereka jawab sistem paip tidak boleh terima tekanan tinggi.

“Kalau sistem paip sudah lama, tukar sajalah paip baharu, susah sangatkah?” soalnya.

Oleh kerana sudah putus asa ekoran tiada siapa lagi boleh membantu, maka penduduk bergotong-royong membina saluran untuk mengalirkan air dari Bukit Hitam terletak berhampiran ke lebih 300 rumah.

Bagi Ruslan yang ada sedikit wang lebih, dapatlah dibuat beberapa fasa tapisan di rumahnya bagi memerangkap keladak sebelum digunakan. Namun terpaksa juga dikeluarkan ribuan ringgit untuk kos membinanya. Itu pun dia gunakan untuk membasuh dan mandi sahaja. Untuk minum dan memasak, dia terpaksa keluarkan modal lain pula bagi membeli air mineral kerana tidak mahu mengambil risiko.

Bagi yang tidak berkemampuan, terpaksalah guna terus sumber air tersebut walaupun tahu tiada jaminan kandungannya tidak tercemar.

Mesin basuh lagilah, boleh rosak akibat terlalu banyak keladak. Begitu juga alat penapis air, langsung tidak boleh diharap sebab gerenti rosak.

Walau bagaimanapun, Ruslan bersyukur kerana tiada musibah melanda kampung sepanjang tempoh menggunakan air bukit itu.

“Allah Taala masih sayang lagi kami di kampung ini. Kalau satu bencana turun, satu kampung ini akan jadi mangsa.

“Katakanlah kalau tifoid, kamilah yang gunakan air itu, itulah yang kami minum. Tapi alhamdulillah, Allah masih sayangkan kami, tiada penyakit,” ujarnya.

Namun dia tetap bimbang kerana sudah ramai orang luar datang beriadah dan berkelah di air terjun di bukit itu. Paling dirisaukan adalah sampah sarap yang dibuang oleh mereka. Dia bimbang haiwan-haiwan perosak terutama tikus akan membiak sekali gus mencemarkan sumber air dengan menyebarkan penyakit kencing tikus.

Ini hanyalah cebisan rintihan penduduk Kampung Sungai Lui yang dapat penulis paparkan di sini. Boleh saksi dan dengar sendiri luahan hati mereka dalam video yang penulis sediakan di www.utusan.com.my.

Sebenarnya banyak lagi ‘penderitaan’ terpaksa mereka hadapi saban hari gara-gara sikap tidak prihatin pihak yang sepatutnya bertanggungjawab membekalkan air terawat ke situ.

Kalau nak difikirkan, memang tidak logik perkara ini berlaku. Kemudahan asas sebegini pun kerajaan masih tidak mampu sediakan untuk rakyat.

Padahal ada dua empangan berhampiran iaitu Empangan Semenyih dan Empangan Pangsun, mana pergi airnya?

Begitulah agaknya nasib rakyat yang tinggal di hulu, sering terpinggir…

Sambung paip 4 kilometer

BUKAN kerja mudah nak salurkan air dari Bukit Hitam ke rumah penduduk. Mereka terpaksa mendaki bukit dan meredah  hutan sambil membawa gulungan paip. Beberapa kolam tadahan pula perlu dibuat supaya paip itu mampu menerima tekanan air yang deras. 

Dari kolam tadahan itu, baharulah boleh disalurkan air ke rumah-rumah penduduk. Ada paip mencecah panjang hingga empat kilometer bagi rumah yang terletak jauh dari sumber air.

Jika bekalan air terhenti secara tiba-tiba, maka berduyun-duyun penduduk naik ke bukit untuk memeriksa paip, takut-takut ada yang bocor. Umpama pesta pula!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN