KUALA LUMPUR 21 Dis. – Pelayar laman sosial Facebook dikejutkan dengan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) seorang kanak-kanak lelaki terperangkap di dalam mesin basuh di dobi layan diri.
Rakaman yang tular sejak dua hari lalu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Video yang berdurasi tujuh minit itu memaparkan seorang kanak-kanak lelaki pada mulanya duduk di depan penutup mesin.
Beberapa minit kemudian, datang seorang lagi kanak-kanak yang menutup pintu mesin tersebut mungkin hanya mahu bergurau.
Tetapi, keadaan menjadi panik apabila dia tidak dapat membuka semula pintu tersebut kerana terkunci.
Bagaimanapun, seorang lelaki yang berada di situ menyedari kejadian dan telah meminta pertolongan pelanggan lain untuk membantu mengeluarkan kanak-kanak tersebut.
Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan oleh orang ramai setelah mereka mengumpil pintu mesin dobi tersebut menggunakan batang besi.
Bagaimanapun lokasi sebenar kejadian masih belum diketahui. – UTUSAN ONLINE










