KUALA LUMPUR 10 Dis. – Kerugian dialami menerusi jenayah siber melibatkan penduduk sekitar ibu negara meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun lepas.
Video oleh NAIMAH MOHAMAD
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tahun ini sehingga November lalu sahaja, Kontinjen tersebut merekodkan sebanyak 1,201 kes dengan kerugian RM72.5 juta berbanding 850 kes pada keseluruhan tahun lalu dengan kerugian RM35.1 juta.
Katanya, kebimbangan pihak polis adalah angka tersebut akan terus meningkat berikutan tahun 2018 masih belum sampai ke penghujungnya.
“Kita telah mengenalpasti empat jenis jenayah siber yang mencatatkan kes tertinggi iaitu penipuan melalui panggilan telefon atau ‘Macau Scam’, ‘African Scam’ atau ‘Love Scam’, penipuan tawaran pinjaman tidak wujud dan penipuan pembelian barang secara atas talian.
“Justeru, hari ini Polis Kuala Lumpur dengan kerjasama CIMB Bank Berhad serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan mula berganding bahu untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat supaya tidak menjadi mangsa kepada jenayah siber,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Siber ‘Beware. Be Aware: Stop The Scammers di Menara Bumiputra – Commerce, di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. – UTUSAN ONLINE










