SUBANG JAYA 19 Dis. – Keadaan di sekitar kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, dekat sini tenang dan terkawal dengan kehadiran pihak berkuasa.
Setakat pukul 1.15 pagi ini, lebih 90 anggota polis ditempatkan di kawasan kuil sebagai langkah keselamatan.
Berdasar tinjauan, jalan menuju ke kuil turut diadakan sekatan jalan raya.
Selain itu, lebih 100 anggota polis turut ditempatkan di pusat beli-belah One City.
Dalam kejadian pada awal pagi 27 November lalu, anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman.
Allahyarham kemudian dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak tiga minggu lalu sebelum meninggal dunia pada pukul 9.41 malam kelmarin.
Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab dalam satu kenyataan memaklumkan kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










