[VIDEO] Hawa inspirasi golongan millenia - Utusan Malaysia

[VIDEO] Hawa inspirasi golongan millenia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Itu pepatah yang sesuai digambarkan untuk gadis manis berusia 23 tahun, Hawa Rizwana Redzuan yang semakin rancak membina kerjayanya.

KUALA LUMPUR, 7 Disember 2018 - Sesi fotografi bersama penyampai
 

Walaupun masih muda, dia tidak pernah membataskan diri untuk berkongsi pengalaman bersama anak muda lain dalam mencapai kejayaan.

Mula bekerja sejurus tamat pengajian dalam bidang kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, anak kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu menyifatkan ia sebagai satu rezeki yang tidak pernah disangkakan.

Bergelar seorang pembaca berita dan wartawan di Stesen Televisyen Media Prima Berhad, Hawa kini semakin dikenali dan menerima banyak jemputan untuk menjadi panel forum kerjaya serta motivasi.

“Saya tidak pernah merancang menjadi pakar motivasi atau memberi ceramah dalam mana-mana forum sebelum ini.

“Namun, apabila jemputan sebegitu datang, saya fikir mengapa tidak saya kongsikan sahaja pengalaman yang saya ada kepada orang di luar sana. Selain itu, saya juga sering  menerima pertanyaan dalam media sosial mengenai kerjaya saya,” katanya.

Demikian bicara personaliti TV9 itu ketika ditemui di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sering menerima undangan sebagai panel dalam majlis-majlis di universiti dan butik, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata,  bukanlah untuk membangga diri tetapi bertujuan berkongsi perjalanan kariernya sebagai seorang pembaca berita dan wartawan.

Bukan itu sahaja, perkongsian itu  diharapkan dapat menyuntik semangat anak-anak muda yang mempunyai minat sama untuk terus berusaha mencapai cita-cita walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran dan rintangan.

Hawa  mahu memberikan inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk sentiasa menjadi diri sendiri, bijak membuat keputusan, patuh kepada ibu bapa dan lakukan semuanya dengan niat kerana Allah.

“Saya sudah lama bercita-cita menjadi seseorang yang mampu memberi inspirasi kepada orang ramai kerana saya nak sebarkan ‘positive vibes’.

“Biasanya kata-kata motivasi yang dikongsikan itu saya ambil daripada nasihat-nasihat orang lain kepada saya dan semestinya daripada pengalaman saya sendiri,” katanya yang telah setahun lebih berkhidmat sebagai pembaca berita dan wartawan.

Walaubagaimanapun, dia yang pernah tular gara-gara dikatakan memiliki wajah seiras selebriti popular, Neelofa, tidak dapat menolak pandangan negatif segelintir netizen yang beranggapan kejayaan yang dimiliki sekarang adalah disebabkan perkara itu.

Jelasnya, tidak adil untuknya dinilai sedemikian rupa sedangkan dia berusaha sebaik mungkin untuk membina nama dan identiti sendiri.

“Sejujurnya saya dapat tawaran menjadi pembaca berita  sebelum perkara tersebut tular iaitu ketika menjalani latihan industri dalam program Wanita Hari Ini (WHI), TV3.

“Bukan senang nak jadi pembaca berita sebab banyak perkara kena belajar seperti intonasi suara, mimik muka dan sebagainya yang memerlukan saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

“Oleh itu, tidak adil jika ada yang kata saya dapat semua ini sebab wajah saya sama dengan seorang artis. Kalau wajah  sama dengan siapa sekali pun, tetapi tiada usaha, kerajinan dan kemahuan pasti tak akan ke mana,” ujarnya.

Ditanya bagaimana menghadapi kecaman itu, dia berkata sokongan keluarga dan rakan-rakan sangat membantu untuknya kekal positif selain  menjadikan hal itu sebagai pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan.

Selain  itu, dia juga banyak membaca ayat-ayat positif untuk mengembalikan semula semangatnya,  tidak menghiraukan komen-komen negatif yang sering diterima dalam media sosial dan  ‘melayan’ hobinya seperti menari, berbasikal dan memasak.

Manfaat masa muda

Mempunyai pakej yang lengkap sudah semestinya membuka banyak peluang kepada anak gadis ini untuk meluaskan ruang kerjayanya.

Oleh itu, dia juga aktif menjalankan pekerjaan sebagai model sambilan bagi beberapa jenama tudung dan kosmetik tempatan.

Mengakui adakalanya terlalu letih untuk membahagikan masa antara pekerjaan hakiki dengan kerjaya sambilan dan memenuhi undangan sebagai panel, dia tidak mahu terlalu mengikut perasaan.

Katanya, masa muda perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membanting tulang mencari rezeki selagi peluang itu masih terbuka.

“Pada awal dahulu, saya pernah menangis sebab terlalu letih  melakukan semua itu.

“Tetapi saya sentiasa ingat pesan orang di sekeliling yang menasihatkan saya supaya jangan mensia-siakan masa muda dengan tidak melakukan apa-apa yang boleh membawa  kepada kejayaan.

“Masa inilah saya perlu bersungguh-sungguh mencari rezeki lebih sebelum mempunyai komitmen yang lebih besar di kemudian hari,” tegasnya.

HAWA tetap menjaga penampilan yang bergaya walaupun sedang bercuti.
HAWA tetap menjaga penampilan yang bergaya walaupun sedang bercuti. 

Ditanya bagaimana dia kekal bertenaga dan sihat untuk melakukan semua aktiviti tersebut, katanya, dia perlu sentiasa positif dan bersikap tenang.

Di samping itu, Hawa juga melakukan senaman seperti berjalan sebanyak mungkin dalam sehari jika tidak sempat berjoging, menjaga pemakanan dan minum air kosong sebanyak mungkin.

Mengenai perancangan masa depan, dia bercadang  menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini.

Ikuti video lima soalan mengenai karakter gadis manis ini yang disediakan Mega Rona menerusi utusan.com.my. bermula pukul 4 petang ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN