JOHOR BAHRU 16 Dis. – UMNO Johor Bahru berpendapat adalah lebih bermaruah untuk Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Latiff Ahmad melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Ketua Bahagiannya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, peletakan jawatan beliau itu bagi membolehkan pengundi di Mersing memilih wakil rakyat mereka yang benar-benar mahu berkhidmat menjalankan tanggungjawab.
“Sebagai orang lama dan sudah memegang pelbagai jawatan baik peringkat negeri mahu pun Pusat semasa bersama-sama UMNO adalah lebih bermaruah beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.
“Kita mahu supaya satu pilihan raya kecil diadakan bagi membolehkan rakyat Mersing benar-benar boleh memilih sama ada wakil pemerintah atau pembangkang menjadi wakil rakyat mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Shahrir berkata, UMNO Johor Bahru amat kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Mersing itu yang disifatkan tiada harga diri dan maruah terutama beliau berada di negeri di mana UMNO dilahirkan. – UTUSAN ONLINE










