PUTRAJAYA 31 Dis. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini melancarkan Arca Putrajaya di Dataran Putra, Presint 1 di sini yang menjadi antara mercu tanda baharu pelancongan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Arca Putrajaya didirikan di lokasi strategik iaitu membelakangi Bangunan Perdana Putra di sini, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri.
Reka bentuk arca yang merupakan manifestasi keutuhan Putrajaya sejak wilayah ini dibangunkan pada 1995 itu diinspirasikan oleh kumpulan pegawai muda Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam usaha mewujudkan mercu tanda seperti arca-arca luar negara sekali gus menjadi tarikan pelancong.
Arca itu direka dengan imej grafik abstrak berwarna-warni bercorak harmoni bagi menzahirkan elemen kegembiraan dan uniknya, imej itu boleh bertukar mengikut musim tertentu termasuk bulan kemerdekaan serta musim perayaan.
Bahagian belakang huruf-huruf itu pula berimej kibaran Jalur Gemilang menggambarkan semangat cintakan negara.
Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, Dr. Mahathir menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak perbadanan berhubung inisiatif arca berkenaan.
“Ini adalah satu daripada program yang dirancang oleh kita. Banyak lagi bakal menyusul selaras dengan aspirasi yang diketengahkan oleh Dr. Mahathir sendiri.
“Aspirasi Dr. Mahathir kepada PPj adalah yang mana beliau tidak mahu kita hanya menekankan kepada pembangunan prasarana semata-mata tetapi juga menumpukan kepada usaha memastikan 120,000 penduduk Putrajaya melibatkan diri dalam program-program perbadanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










