HANOI – Penyokong atau pemain ke-12 Harimau Malaya selamat tiba bersama penerbangan AirAsia di Lapangan Terbang Noi Bai, Vietnam sebentar tadi untuk menyaksikan perlawanan final kedua Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam esok.
Majlis penerbangan istimewa tersebut telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, (Perniagaan Penerbangan), Bo Lingam.
“Setiap penyokong Harimau Malaya yang pergi ke Hanoi dengan penerbangan khas kami memberikan diskaun RM50 selepas Petronas memberikan tajaan minyak kepada pesawat AirAsia.
“Untuk aksi final ini, kami telah menambah penerbangan apabila kerusi penyokong daripada 160 ketika separuh akhir di Bangkok kepada 345 di Hanoi untuk memberikan semangat luar biasa buat anak buah Tan Cheng Hoe,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas di KLIA2 pagi tadi.
Kesemua penumpang selamat mendarat di Lapangan Terbang Noi Bai, Vietnam pukul 11 pagi waktu Malaysia bersama Kapten Dominic Henry Chin dan Ariffin Ismail.
Komitmen AirAsia terhadap sukan di Malaysia adalah sebahagian dari kempen berterusan #DARETODREAM AirAsia yang mengukuhkan posisi syarikat penerbangan tersebut dalam merealisasikan impian, membangunkan arena sukan tempatan dan menyokong atlet negara dalam pelbagai tahap dengan satu visi untuk mengharumkan nama negara di mata dunia. – K! ONLINE











