PARIS 10 Dis. – Kedudukan Emmanuel Macron sebagai Presiden Perancis bertambah runcing apabila tunjuk perasaan secara besar-besaran yang dilakukan oleh pergerakan ‘ves kuning’ memberi kesan besar terhadap pembangunan ekonomi di negara ini.
Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire berkata, negara ini bakal berdepan dengan kadar peningkatan ekonomi yang perlahan iaitu hanya 0.1 peratus pada penghujung tahun ini berikutan siri protes yang dilakukan oleh kumpulan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini menyatakan bahawa Macron adalah pihak yang perlu dipersalahkan dalam tunjuk perasaan yang berlaku.
Salvini juga menggesa Brussels supaya mengambil perhatian atas insiden yang menyebabkan seluruh Perancis bergolak.

“Jika Macron lebih mengutamakan negaranya berbanding isu berkaitan saya dan Itali sebelum ini, pasti beliau tidak berdepan dengan begitu banyak masalah hari ini.
“Macron mengurangkan kadar cukai terhadap golongan kaya dan menaikkannya bagi penduduk yang berpendapatan rendah,” katanya sambil memberitahu kerajaan Itali tidak bercadang mengikut langkah Macron.
Salvini yang merupakan ketua liga haluan kanan di Itali mempunyai hubungan tegang dengan Macron berhubung polisi pendatang, selain menyatakan Presiden Perancis itu sudah ‘hilang taring’ susulan protes antikerajaan itu.
Beliau juga mempertahankan kos perbelanjaan besar dalam bajet Itali bagi 2019 dengan menegaskan pihaknya ingin membantu industri perniagaan, masyarakat serta kira-kira lima juta penduduk miskin di Itali.
“Saya tidak mahu apa yang berlaku di Paris menimpa penduduk Itali,” tegasnya.
Sementara itu, Macron bakal memberi ucaptama berhubung situasi terkini hari ini dan mengadakan pertemuan dengan kesatuan perdagangan serta kumpulan peniaga bagi mencari jalan penyelesaian menamatkan siri protes.
Akhbar Parisien dalam lidah pengarangnya turut memberi amaran kepada Macron bahawa Perancis akan terjerumus ke dalam huru-hara politik jika Presiden itu gagal menangani protes ves kuning.
Pegawai-pegawai kerajaan Perancis memaklumkan Presiden berusia 40 tahun itu akan mengumumkan langkah konkrit yang berkuat kuasa serta-merta sebagai reaksi terhadap bantahan pergerakan ves kuning. – AFP/REUTERS









