TUAH ayam pada kakinya, tuah manusia tiada siapa yang tahu, pepatah tersebut amat sesuai untuk mencerminkan nasib si pemilik nama Virgil Van Dijk yang suatu ketika dahulu hanyalah seorang pencuci pinggan di Restoran Oncl Jean dekat Kota Breda, Belanda.
Meraih pendapatan sebanyak 2.50 pound (RM13) sejam ketika berusia 16 tahun sebagai pembantu restoran, kini Van Dijk mampu tersenyum lebar apabila memperolehi gaji 180,000 pound (RM949,229) seminggu daripada Liverpool.
Mengimbau pahit getir yang terpaksa ditempuhinya 10 tahun lalu, tiada siapa menyangka bek tengah Belanda itu muncul sebagai pemain pertahanan termahal di dunia dengan nilai perpindahan 75 juta pound (RM410 juta) selepas menyertai Liverpool dari Southampton.
Pemilik restoran tempat Van Dijk pernah bekerja, Jacques Lips mengakui, terkejut apabila bekas pekerjanya itu mampu meraih pendapatan sebanyak 55 juta pound (RM290 juta) dalam tempoh lima tahun akan datang.
“75 juta pound? Saya perlu mengulangi angka itu apabila mendengarnya. Saya masih tidak percaya, ia benar-benar gila. Dia (Van Dijk) merupakan seorang pekerja yang bagus. Dia melakukan tugas dengan baik ketika waktu bekerja dan berlatih dengan keras di padang untuk bergelar pemain profesional ketika menyertai akademi Willem II.
“Selepas kerja, ayahnya akan mengambil dia. Saya pernah menawarkan dia bekerja lebih masa bagi memperolehi wang lebih dan meminta dia berhenti daripada mencuba menjadi pemain profesional,” katanya.
Van Dijk juga berhadapan detik paling menakutkan dalam hidupnya apabila nyawanya nyaris diragut akibat appendiks pecah ketika berusia 19 tahun yang memaksanya dirawat selama 12 hari di hospital serta memerlukan tempoh empat bulan bagi proses penyembuhan.
Bagaimanapun, semangat yang kuat untuk bergelar pemain profesional menyaksikan dia berjaya mengatasi segala cabaran dan ujian yang hadir.
Memulakan karier remajanya sebagai pemain bola sepak bersama kelab Willem II sebelum FC Groningen menawarkan kontrak sebagai pemain profesional pada 2011 hingga 2013.
Bintang pertahanan berusia 27 tahun itu terus mengembangkan kariernya dengan menyertai Celtic selama dua musim, sebelum berhijrah ke Southampton dan seterusnya bersama Reds pada musim ini. Van Dijk yang telah mendirikan rumahtangga bersama Rike Nooitgedagt, mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun. – AGENSI










