LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan anak-anak buahnya tidak boleh terlalu dibuai dengan kejayaan, sebaliknya memberi amaran bahawa perjalanan mereka masih lagi jauh untuk merealisasikan misi merangkul gelaran Liga Perdana England (EPL) musim ini.
The Reds kini semakin selesa mendahului carta EPL dengan kelebihan sembilan mata selepas membelasah Arsenal 5-1 di Anfield awal pagi semalam.
Namun, Klopp tidak mahu pasukannya mudah terlena dengan mimpi indah tersebut, sebaliknya mahu mereka terus memberi fokus sepenuhnya dalam setiap perlawanan selepas ini.
“Saya gembira dengan kedudukan kami sekarang, namun ia bukan tiket untuk kami berasa selesa kerana pasukan-pasukan di bawah juga masih sedang mengejar. Tidak mustahil kedudukan ini akan berubah.
“Saya mungkin bukan orang yang bijak, tetapi saya tidak bodoh. Menjadi pendahulu liga pada bulan Disember bukanlah jaminan untuk muncul juara kerana masih ada banyak perlawanan yang perlu diharungi,” ujar Klopp.
Bekas jurulatih Borussia Dortmund itu turut gembira apabila melihat Roberto Firmino menjaringkan hatrik selain memuji tindakan Mohamed Salah yang memberi laluan kepada pemain Brazil berkenaan untuk menyempurnakan sepakan penalti.
“Tahun 2018 berakhir dengan hadiah Krismas daripada Salah dan saya gembira tindakannya memberi peluang kepada Firmino melengkapkan hatrik. Saya fikir Firmino telah menampilkan aksi sempurna hari ini (semalam),” katanya. – Agensi










