KUCHING 10 Dis. – Parti Rakyat Bersatu atau United People’ Party (UPP) hari ini mengemukakan surat pemohonan penukaran nama parti tersebut kepada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan logo baharunya di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Sarawak, Jalan Wan Alwi di sini.
Surat pemohonan itu diserahkan Setiausaha Agung UPP, George Lo kepada Pengarah ROS Sarawak, Georgina Apphia Ngau untuk tindakan lanjut.
George Lo berkata, UPP perlu mengikut perundangan ROS di mana perubahan nama parti harus mendapatkan kelulusan ROS.
“Secara amnya, kita masih menggunakan nama UPP dan sekiranya pemohonan diluluskan barulah ditukarkan kepada PSB.
“Diharap pemohonan untuk pertukaran nama ini akan diproses secepat mungkin, UPP dimaklumkan bahawa pemohonan melalui talian memerlukan tempoh sehingga 23 hari untuk diproses, memandangkan UPP menyerahkan pemohonan secara manual maka berkemungkinan tempoh yang diambil akan menjadi lebih singkat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan ROS negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Georgina berkata, ROS Sarawak menerima kesemua pemohonan berkenaan pertubuhan kecuali pemohonan berkaitan pertubuhan parti politik.
Beliau berkata, dalam perkara ini ROS Sarawak hanya bertindak sebagai penasihat dan penerima permohonan sebelum diserahkan kepada ROS pusat.
“Pemohonan berkaitan parti politik bukan di bawah bidang kuasa ROS negeri, segala proses-proses pemohonan tersebut akan diuruskan di bahagian pusat sahaja,” katanya.
UPP adalah parti serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga satu daripada empat parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS). – BERNAMA










