UMNO Selangor setia bersama parti - Utusan Malaysia

UMNO Selangor setia bersama parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 17 Dis. – UMNO Selangor tetap kekal bersama bagi kembali memperkukuhkan parti, di sebalik tindakan satu daripada dua ahli Parlimennya, Datuk Mohd. Fasiah Fakeh membuat keputusan meninggalkan parti Jumaat lalu.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kesal dengan Mohd. Fasiah yang mengkhianati pengundi Sabak Bernam, UMNO Selangor akan terus kekal berpadu dan tiada isu mahu melompat parti secara beramai-ramai.

Jelas beliau, semua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO iaitu Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam), Datuk Mohd. Imran Tamrin (Sungai Panjang), Datuk Mohd. Shamsuddin Lias (Sungai Burong) dan Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) juga menyata­kan kesetiaan ma­sing-masing.

“UMNO tidak goyang sekiranya beberapa ahli Parlimen mengambil tindakan keluar parti. Contohnya, lihat sahaja Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang keluar parti, namun UMNO di sana masih lagi kukuh dan tidak ada lagi yang dibubarkan.

“Isu lompat parti ini adalah individu, bukannya ahli. Ini berikutan ahli yang berbuat demikian adalah kehendak diri sendiri bukannya ahli UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan; Setia­usaha Perhubungan UMNO Se­langor, Datuk Johan Abdul Aziz dan Ketua Pembangkang Sela­ngor, Rizam Ismail.

Kepada soalan mengenai kedudukan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden berkata, setakat ini tiada keperluan untuk membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut.

“Berkenaan Presiden parti, UMNO Selangor tidak membincangkan tentang perkara ini namun tindakan akan dibuat secara bermesyuarah jika merasakan perbincangan perlu dilakukan.

“Kedudukan Presiden masih belum dibincangkan sebab ramai tidak ada kerana ada yang mengerjakan umrah dan bercuti, kita tunggulah selepas mereka balik dan sekiranya ada keperluan untuk bincang kedudukan Presiden kita akan lakukan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN