SEREMBAN – Kerajaan disaran menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mencari kebenaran dalam isu pengeluaran hibah atau dividen oleh Lembaga Tabung Haji (TH) yang didakwa menyalahi Akta Tabung Haji 1995 sejak tahun 2014.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau mencadangkan penubuhan RCI itu bagi membolehkan semua pihak mengetahui dengan lebih jelas dan terperinci tentang isu tersebut.
“Ia sudah pasti akan membuka ruang untuk kita sama-sama mengemukakan jalan ke hadapan yang baik dan perlu bagi mengukuhkan kembali institusi penting ini. Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof hari ini mendedahkan TH melakukan kesalahan dalam pengeluaran hibah atau dividen sejak tahun 2014.
Kesalahan itu dibuat apabila kepimpinan TH terdahulu masih mengeluarkan hibah walaupun nilai asetnya sebanyak RM70.3 bilion lebih rendah berbanding liabiliti RM74.4 bilion.
Seksyen 22 (3a) Akta Tabung Haji 1995 menyebut hibah tidak boleh diberikan apabila nilai aset adalah lebih rendah daripada liabiliti.
Terdahulu, Mohamad berkata, laporan tersebut mengundang kerisauan yang mendalam dalam kalangan umat Islam Malaysia dan mereka mendambakan kebenaran serta menuntut mereka yang terlibat bertanggungjawab.
Kata beliau, satu siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera dan tegas kerana ia menggambarkan krisis tadbir urus korporat dan pengurusan yang tidak mengikut amalan terbaik.
Jelasnya, TH adalah institusi milik umat Islam dan masyarakat awam secara umum berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi terpenting itu.
Tambah beliau, sebarang usaha untuk memperkuat institusi TH dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urus mesti disokong oleh semua pihak.
“TH jangan sama sekali dibiarkan susut nilai dan kepentingannya dipergunakan tanpa pertanggungjawaban dan rasa bersalah dalam apa cara sekali pun,” katanya. – K! ONLINE










