UMNO Sabah tidak mampu bertahan - Utusan Malaysia

UMNO Sabah tidak mampu bertahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Keputusan empat ahli Parlimen UMNO Sabah yang dijangka keluar parti menandakan bahawa parti itu sudah tidak mampu bertahan lagi.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, situasi terkini yang melanda UMNO negeri itu juga merupakan petanda baik buat Pakatan Harapan (PH) di negara ini.

Katanya, kesemua ahli Parlimen itu tidak mahu dikaitkan lagi dengan UMNO dan terpulang kepada mereka untuk menyertai mana-mana parti.

“Itu keputusan mereka dan mungkin mereka melihat bahawa UMNO sudah tidak boleh bertahan lagi kerana ditolak oleh rakyat.

“Malah, UMNO juga parti yang cukup korup sekali gus membuktikan bahawa parti itu semakin hari semakin ditinggalkan. Hal ini juga merupakan satu perkembangan yang baik untuk PH, tapi tidak tahulah mereka hendak masuk parti mana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Bersatu di Bangunan Yayasan Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Penerangan, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.

Muhyiddin mengulas mengenai laporan sebuah portal berita bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor dijangka mengumumkan pembubaran parti itu esok.

Empat wakil rakyat yang dikatakan itu adalah Ahli Parlimen Kudat, Abd. Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, UMNO begitu kuat di Sabah kerana beliau juga merupakan antara penaja parti itu sebelum ini.

“Saya tahu dahulu UMNO sangat kuat di Sabah kerana mempunyai penyokong yang begitu ramai dan saya juga pernah menaja parti itu sebelum ini. Namun, hari ini keadaan tidak sama lagi seperti dahulu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN