KOTA KINABALU 13 Dis. – UMNO Sabah akan bangkit semula dengan barisan kepemimpinan baharu di semua bahagian, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, semua jawatan yang dikosongkan oleh hampir kesemua anggota jawatankuasa Badan Perhubungan negeri dan 21 daripada 25 Ketua Bahagian di negeri itu akan dipangku oleh timbalan masing-masing.

Menurutnya, perbincangan mengenai kepemimpinan Badan Perhubungan baharu akan diadakan dan keputusannya akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan barisan tertinggi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu, di sini hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan serta Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Jainab Ahmad.
Malah, katanya, setakat ini belum ada ahli di peringkat cawangan keluar daripada UMNO secara beramai-ramai seterusnya membubarkan cawangan mereka.
“Walaupun gambaran yang diberikan seolah-olahnya UMNO Sabah ini sudah lumpuh, tetapi keadaan sebenarnya tidak begitu,” katanya.
Katanya, semua barisan kepemimpinan baharu berkenaan perlu agresif turun padang untuk menjelaskan segala keleliruan ahli terutama berkaitan hala tuju parti yang dikatakan tidak jelas selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu. – BERNAMA










