IPOH 19 Dis. – Keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam sewajarnya disambut dengan kesungguhan oleh seluruh kepemimpinan dan ahli UMNO bagi memastikan proses pemulihan serta pembangunan semula parti dapat dilaksana tanpa dibayangi sebarang konflik perpecahan sendiri.
Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tindakan berjiwa besar Ahmad Zahid itu sekali gus mencerminkan tradisi kepemimpinan UMNO yang sentiasa meletakkan kepentingan perjuangan parti, melebihi kepentingan sendiri.
“UMNO Perak mahu semua pihak menghormati keputusan Ahmad Zahid menyerahkan tugas Presiden UMNO kepada Mohamad seperti diumumkan semalam. Kita amat menghargai jasa dan pengorbanan Ahmad Zahid yang selama ini memberikan sumbangan besar, bukan sahaja kepada parti tetapi kepada negara.
“Pada masa sama, UMNO Perak menyeru kepada semua pemimpin dan ahli di setiap peringkat untuk memberikan dokongan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Mohamad dalam memikul tugas serta amanah yang diberikan kepada beliau,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










