UMNO parti yang memperjuangkan Melayu Islam sejak dahulu, kini dan selamanya - Utusan Malaysia

UMNO parti yang memperjuangkan Melayu Islam sejak dahulu, kini dan selamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 14 Dis. – Tidak ada parti lain yang mampu memperjuangkan Melayu serta Islam di negara ini dengan baik selain daripada UMNO sejak dahulu, kini dan selamanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bagaimanapun UMNO kini menghadapi cabaran dan dugaan yang amat besar apabila tewas serta kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau berkata, pihaknya percaya dugaan itu akan memberikan hikmah yang amat besar untuk mereka kembali bangkit daripada kekalahan itu.

“Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan merasa amat terkejut, terkilan, kecewa dan sedih dengan pengisytiharan keluar parti yang dibuat oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

“Namun demikian pengumuman tersebut tidak sedikit pun melunturkan semangat Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan untuk terus berjuang menegakkan panji-panji UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Ikmal Hisham dalam satu pertemuan dengan ahli-ahli UMNO bahagian Tanah Merah mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan keluar daripada parti itu.

Beliau yang menitiskan air mata ketika berucap dalam majlis tersebut dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat demi orang Melayu serta Islam dan rakyat di Tanah Merah.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang mengakui kekalahan pada pilihan raya umum lalu menyulitkan kepemimpinan UMNO namun parti itu telah berjasa kepada para pemimpinnya untuk mengecapi apa yang mereka nikmati hari ini.

“Saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan menegaskan bahawa tidak ada sekelumit pun terlintas dalam diri ini untuk keluar daripada parti malah akan merapatkan saf bersama-sama pemimpin dan ahli UMNO bagi meneruskan perjuangan suci ini.

“Justeru, saya memohon kepada semua ahli UMNO khususnya di negeri Kelantan supaya bertenang, bersabar dan beristiqamah dalam perjuangan ini.

“Yakinlah masa depan UMNO masih cerah. Yakinlah kita akan kembali bangkit dan mentadbir negara ini untuk meneruskan agenda membangunkan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×