UMNO: Henti keruhkan keadaan - Utusan Malaysia

UMNO: Henti keruhkan keadaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Walaupun UMNO sedang berhadapan cabaran terbesar sehingga menyaksikan beberapa ahli Parlimennya bertindak meninggalkan parti, namun semua ahli yang masih setia perlu meletakkan kepercayaan terhadap kepemimpinan dan sentiasa menjaga perpaduan yang terbina.

Sehubungan itu, setiap ahli UMNO seharusnya menghentikan apa sahaja perkara yang boleh mengeruhkan lagi kea­daan dan tidak lari daripada fokus perjuangan asal.

SHAMSUL ANUAR NASARAH
SHAMSUL ANUAR NASARAH 

Itu merupakan penegasan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang mahukan setiap ahli untuk tidak meletakkan agenda selain daripada kepentingan UMNO dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi parti berkenaan.

Malah, Shamsul Anuar turut menegaskan perjuangan UMNO sebagai parti keramat Melayu menerusi falsafah dan idealisme bagi membela agama, bangsa serta agama tidak akan pernah pudar.

“Kebebasan bersuara bukan bermakna kita boleh bercakap apa sahaja hingga boleh menjejaskan reputasi parti ketika ini.

“UMNO sebuah parti besar. Kita ada kaedah dan cara menyelesaikan masalah. Apa sahaja tindakan kita diperhatikan oleh rakyat. Oleh itu, kita mesti bijaksana menghadapi situasi mencabar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shamsul Anuar, semua pimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat diminta bersama mengukuhkan parti dalam saat-saat sukar ketika ini.

“Dalam sejarah 72 tahun, inilah kali pertama UMNO hadapi situasi sebegini. Keadaan ini tidak pernah dilalui oleh mana-mana Presiden UMNO kecuali Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Bukan senang untuk menghadapinya.

“Oleh itu, apakah boleh diselesaikan masalah jika kita bertelagah sesama sendiri dan perpaduan semakin longgar? Sesiapapun menjadi pemimpin tidak akan dapat menyelesaikan masalah jika tiada kesepakatan atau asyik menyalahkan satu sama lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN