KUALA LUMPUR – Syarikat minyak dan gas (O&G) negara, Petronas menjangka turun naik harga minyak tahun ini akan berterusan pada 2019.
Dalam laporan tahunan Prospek Aktiviti Petronas (PAO) untuk 2019-2021 yang dikeluarkan hari ini, Petronas berkongsi pandangannya mengenai trend industri, prospek permintaan dan aktiviti dalam sektor huluan dan hiliran.
“Petronas, dalam PAO edisi ini, mengekalkan pandangan yang berhati-hati terhadap prospek industri dan akan bertindak balas dengan keyakinan berhati-hati, terutama pada projek modal baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam laporan itu, Petronas berkongsi aspirasi dan bidang peluang utama bagi peserta industri untuk mengambil bahagian dalam aktiviti penyahtauliahan dan mengakui bahawa penyahtauliahan telah banyak dibincangkan dalam kalangan pemain industri sebagai segmen pasaran yang berkembang pesat.
“Pemain tempatan dalam segmen penyahtauliahan perlu menimbang semula model perniagaan yang lebih efektif dan cekap untuk menyokong keperluan yang akan datang,” katanya.
Petronas berkata, komitmennya terhadap perjalanan transformasi digital untuk menjadi organisasi yang didorong oleh data, keperluan untuk merangkul teknologi dan digitalisasi dalam budaya dan pemikiran juga ditonjolkan dalam PAO.
Laporan itu juga menyatakan kekurangan data mengenai bakat dalam kalangan pemain industri O&G walaupun ia menjadi bahan api yang mendorong pertumbuhan industri.
“Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk pemain industri lebih terlibat dalam pembangunan bakat, terutama dalam latihan teknikal dan vokasional, Petronas berkongsi pengalamannya mengenai landskap bakat perkhidmatan dan peralatan O&G Malaysia berdasarkan kajian dalaman.
“Ia berharap dengan perkongsian tersebut, industri boleh bertindak balas dan bekerjasama untuk merebut peluang dan memacu penyelesaian jangka panjang,” tambahnya. – Bernama









