ANKARA 12 Dis. – Turki dilapor sedang dalam perbicangan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memulakan siasatan berhubung kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki 2 Oktober lalu.
PressTV melaporkan, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menyatakan bahawa, gesaan siasatan antarabangsa bagi menyelesaikan kes tersebut sudah bermula.
“Harapan kami sebenarnya tidak mahu semua ini (siasatan antarabangsa) berlaku dan berharap Arab Saudi akan memberi kerjasama untuk mencari dalang sebenar,” katanya.
Minggu lalu, Suruhanjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet menyatakan bahawa, siasatan antarabangsa diperlukan bagi mengheret pihak bertanggungjawab membunuh Jamal ke muka pengadilan.
Kementerian Luar Turki juga sebelum ini memberi amaran bahawa Ankara akan meminta PBB melakukan siasatan rasmi sekiranya Riyadh enggan bekerjasama dan cuba menutup perkara sebenar.
Jamal yang merupakan kolumnis akhbar Washington Post dibunuh selepas memasuki konsulat tersebut bagi mendapatkan dokumen untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya yang merupakan warga Turki.
Pendedahan terbaharu berdasarkan terjemahan transkrip rakaman audio pemubunuhan Jamal turut menunjukkan secara jelas wartawan itu dibunuh dan bukannya meninggal dunia secara tidak sengaja, selain terdapat bunyi gergaji yang dipercayai digunakan untuk mengerat mayat wartawan itu. – AGENSI










