MELAKA 1 Dis. – Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menunjukkan kemahirannya menyediakan hidangan asam pedas sempena jelalah mempromosikan buku masakannya di Melaka.
Lebih istimewa, hidangan Asam Pedas Ayam Daun Kesum yang merupakan resepi tradisional negeri kelahirannya, Johor itu disediakan sendiri oleh Tunku Azizah sambil dibantu beberapa cef daripada Hotel Equatorial Melaka.
Buku masakan berjudul Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan dan Manisan Tradisional Pahang itu merupakan inisiatif amal di mana hasil jualan buku-buku tersebut akan disumbangkan kepada Yayasan Fertiliti Tengku Azizah (TAFF).
Terdahulu, Tengku Azizah sempat meluangkan masa minum petang bersama jemputan sempena majlis Minum Teh Eksklusif bersama Tengku Puan Pahang di Hotel Equatorial Melaka, Banda Hilir, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Hotel Equatorial Melaka, Datuk Syed Abdul Rahman Alkaff dan Pengarah Pemasaran Pusat Perubatan Mahkota, Wong Soo Soon. – UTUSAN ONLINE










