'Tun, pecat Waytha Moorthy' - Utusan Malaysia

‘Tun, pecat Waytha Moorthy’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Berita pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim malam tadi meledakkan semula kemarahan rakyat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang dilihat gagal mengawal keadaan ketika kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya berlaku.

Orang ramai mula membanjiri media sosial dengan komen dan hantaran mendesak pemecatan Waytha Moorthy yang memegang portfolio Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial.

Bukan sahaja diserang dalam laman Facebook miliknya sendiri sehingga terpaksa menyahaktifkan akaun, desakan supaya Waytha Moorthy dilucutkan jawatan juga disuarakan dalam laman Twitter Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir yang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib dalam hantaran di laman tersebut menerima begitu banyak komen balas yang meminta beliau mengambil tindakan ke atas kegagalan Waytha Moorthy.

Antara komen yang menarik datang daripada @ohmeelo yang berpendapat Waytha Moorthy perlu meletak jawatan bagi memberi pengajaran kepada ahli Kabinet lain.

“Tolong bertanggungjawab, Tun. Waytha Moorthy perlu letak jawatan.

“Kegagalannya yang bermulut lepas perlu jadi pengajaran kepada semua ahli dalam kerajaan baharu untuk berfikir sedalam-dalamnya kesan jika memulakan sentimen ketika bercakap atau menulis sesuatu di media sosial,” katanya.

Nada sama turut disuarakan @hazaitheuseless yang turut mendesak peletakan jawatan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu.

“Contoh terbaik ‘kata-kata lebih membunuh daripada senjata’. Anda tahu maksud saya, Tun. Dia perlu letak jawatan dan bertaubat,” katanya yang dipercayai merujuk kepada Waytha Moorthy.

Malah, tidak kurang juga pengguna Twitter yang memberi amaran kerajaan akan kehilangan sokongan jika tindakan wajar tidak diambil segera.

“Pecat (Waytha) Moorthy atau kami semua tukar undi…,” tulis @mfaiza178. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×