KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton Holdings Bhd. (Proton) yang ditunggu-tunggu, Proton X70 yang ditawarkan pada harga bermula RM99,800 hingga RM123,800.
Proton X70 didatangkan dalam empat varian iaitu model asas Standard Pacuan Dua Roda (2WD), Executive 2WD, Executive Pacuan Semua Roda (AWD) dan Premium 2WD.
Pelanggan boleh memilih warna snow white, armour silver, jet grey, cinnamon brown dan flame red.
Dr. Mahathir berkata, pengenalan model baharu itu akan membantu pemulihan Proton.
“Saya pasti model ini akan diterima baik oleh masyarakat di negara ini.
“Saya berbangga dalam tempoh 35 tahun ini Proton telah berkembang dengan baik dan suatu hari nanti kita akan dapat menyaksikan pembangunan model kenderaan yang dibina 100 peratus oleh tenaga kepakaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Proton X70 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini sebentar tadi.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.
Ciri-ciri tambahan yang membolehkan Proton X70 memberi saingan kepada SUV lain ialah penggunaan kamera 360 darjah, sistem pemantauan tekanan angin tayar, kamera pandangan hadapan dan sistem bantuan pemanduan yang terdiri daripada sistem brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan serta cruise control adaptif.
Model itu juga mendapat klasifikasi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan penggunaan enam beg udara membolehkan ia mendapat penarafan lima bintang Asean NCAP
Selain itu, terdapat juga ciri Kawalan Jauh Telefon Pintar dan port USB yang banyak iaitu dua untuk penumpang hadapan dan pemandu, dua untuk penumpang belakang dan satu di belakang cermin pandang belakang.
Kesemua varian X70 menggunakan enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin petrol empat silinder 1.8 liter TGDI turbo berkuasa 181 kuasa kuda (hp) dan daya kilas maksimum 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik. – K! ONLINE
Spesifikasi Proton X70
– Enjin 1.8 liter turbo.
– Berkuasa 181 hp dengan daya kilas maksimum 285 Nm.
– Gear enam kelajuan automatik
– Didatangkan dalam warna putih, perak, kelabu, coklat dan merah.
– Berharga antara RM99,800 hingga RM123,800.











