Tun Dr. Mahathir tidak hadir himpunan Suhakam esok - Utusan Malaysia

Tun Dr. Mahathir tidak hadir himpunan Suhakam esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), esok.

Perdana Menteri berkata, sesuatu yang agak mustahil untuk beliau menghadiri himpunan yang bakal dianjurkan di Padang Timur, Petaling Jaya, di sini kerana keputusannya pada 23 November lalu bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Saya membuat keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD, Suhakam pula mahu ICERD, jadi bagaimana saya mahu pergi?” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di Menara Yayasan Selangor, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden DAP, Gobind Singh Deo.

Semalam, Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail memberitahu, pihaknya telah menjemput Perdana Menteri untuk menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang ditunda penganjurannya kepada esok.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu memberitahu, beliau tidak akan menghadiri #DaulatHimpunan812 yang diadakan di Dataran Merdeka, hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan seramai sejuta peserta menghadiri himpunan yang disertai pemimpin dan penyokong parti Pas dan UMNO itu.

“Saya tahu perhimpunan hari ini dihadiri sejuta orang, terima kasih kepada mereka sebab berkumpul atas kesyukuran, terima kasihlah.

“Tidak, saya sudah cukup bersyukur dan saya sudah membuat keputusan yang baik,” katanya ketika ditanya sama ada akan menghadiri himpunan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN