IPOH – Tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes ugutan bom palsu di sebuah restoran makanan segera di Taman Ipoh di sini semalam, kini direman selama empat hari.
Majistret Siti Hafiza Jaafar mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap tujuh suspek berusia 20 hingga 33 tahun itu bermula hari ini sehingga 11 Disember ini.
Terdahulu, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10 pagi sebelum keluar kira-kira sejam kemudian.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Lewat malam tadi, sebuah restoran makanan segera di Taman Ipoh di sini terpaksa dikosongkan selepas seorang seorang pelanggan menemui satu objek hitam disangka bom di atas pam tandas wanita bersama nota ugutan yang ditulis di dinding tandas premis tersebut lewat malam tadi.
Polis terpaksa mengarahkan premis tersebut dikosongkan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9 malam.
Kira-kira 20 orang pelanggan dan pekerja restoran berada di dalam bangunan tersebut ketika kejadian.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di tandas wanita tingkat atas tersebut mendapati ia bukan bom dan polis mengesahkan premis berkenaan selamat. – Bernama










